Otak Einstein jadi rebutan saintis
SUSAHNYA menjadi orang genius! Sudah meninggal dunia pun otaknya masih menjadi buruan untuk dikaji. Setelah lebih separuh abad meninggal dunia, otak saintis genius fizik yang terkenal dengan Teori Relativiti Umum, Teori Relativiti Khas dan Kesan Fotoelektrik yang membolehkan beliau menerima Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1921 telah dipamerkan di Muzium dan Perpustakaan Sejarah Perubatan Mutter di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.
Anna Dhody, kurator muzium tersebut menyatakan dalam satu temubual Yahoo!News bahawa pengunjung akan dapat melihat 45 keratan otak Einstein. Keratan berkenaan telah didermakan oleh pakar neuropatologi kanan Hospital Kanak-Kanak Philadelphia AS, Dr. Lucy Rorke-Adams. Salah satu keratan tersebut telah diperbesarkan di bawah bawah mikroskop khas untuk tatapan pengunjung pameran tersebut.
Anna Dorby berharap melalui pameran itu ia dapat mendorong ramai pengunjung dan peminat sains mengkaji tentang sains dan fisiologi otak. Sejumlah 45 bahagian otak Einstein itu telah melalui perjalanan yang sangat unik. Ia bermula dari kematian saintis tersohor itu pada tahun 1955 akibat abdominal aneurism dan otaknya diambil tujuh jam selepas kematiannya.
Thomas Harvey seorang ahli patologi telah mengambil otak tersebut sebagai satu spesimen untuk uji kaji autopsi yang dijalankan. Bagaimanapun pengambilan otak Einstein telah menimbulkan kontroversi sama ada ia mendapat izin waris. Dalam biografinya yang ditulis oleh Ronald Clark (1971) dikatakan: "Einstein sangat setuju jika otaknya dipakai sebagai objek penyelidikan dan meminta agar badannya juga diawetkan jika perlu".
Namun kenyataan Ronald Clark tidak sesuai kerana pengambilan otak berkenaan belum mendapat izin daripada waris Einstein. Anaknya, Hans Albert Einstein memberikan persetujuan hanya setelah otak bapanya diambil dengan syarat otak tersebut hanya dipakai untuk penyelidikan dan hasilnya diterbitkan dalam jurnal ilmiah yang berkualiti dan terkenal. Harvey menyatakan bahawa keluarga Einstein telah memberikannya hak, sementara sebahagian ahli keluarganya yang lain tidak mengizinkan.
Harvey menerima nasib yang buruk apabila beliau kemudiannya dipecat dari melakukan tugasnya tetapi beliau tetap menyimpan otak saintis terkenal itu dengan selamat. Harvey kemudian membahagikan sebahagian otak berkenaan kepada William Ehrich, seorang ahli patologi dari Philadelphia. Setelah Ehrich meninggal dunia, keratan tersebut sempat diberikan kepada beberapa individu yang lain sehinggalah sampai ke Muzium Mutter.
Dhody mengatakan, salah satu tujuan pameran ini adalah untuk membenarkan orang ramai melihat bagaimana struktur manusia yang dikatakan genius itu. Menurutnya ia sekali gus menekankan bahawa sehingga saat ini, belum ada satu saintis pun yang tahu apa yang menyebabkan Einstein begitu pintar jika ditinjau dari perkembangan dan penerokaan otaknya. Beberapa penyelidikan melaporkan tentang keunikan otak Einstein.
Salah satunya ialah hasil kajian Lucy Rorke-Adams menunjukkan bahawa otak Einstein berusia lebih muda dari yang sepatutnya secara mikroskopik.
"Beliau meninggal pada usia 76 tahun, jadi beliau merupakan seorang manusia yang sudah tua. "Tapi Dr Rorke-Adam mengatakan, jika anda melihat otaknya, anda akan tahu bahawa otaknya kelihatan muda," kata Dhodhy seperti dilaporkan di laman web Livescience, pada November 2011 yang lalu.
Bagaimanapun juga, otak Einstein ditemui kembali pada tahun 1978 mendapat perhatian yang luas terutama di dalam dunia ilmiah. Otak ini berada dalam sebuah botol batu yang diisi dengan cairan jus epal atau cider selama lebih dari 20 tahun.
Sumber : Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my
nisa.sulaiman@utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment